MENU

Perlembagaan Kelab Anggota Majlis Daerah Tapah

FASAL 1 NAMA
  Pertubuhan ini dikenali dengan nama Kelab Anggota Majlis Daerah Tapah. Selepas  ini disebut “Kelab”.
FASAL 2 TEMPAT URUSAN
(1)

Alamat dan tempat urusan Kelab ialah:

MAJLIS DAERAH TAPAH
Jalan Stesen
35000 Tapah

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa dan alamat untuk surat menyurat ialah:

MAJLIS DAERAH TAPAH
Jalan Stesen
35000 Tapah

Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Kelab tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 COGAN KATA
  "BERDAYA SAING KEJAYAAN HARMONI"

 

FASAL 4 TUJUAN/MATLAMAT
(1) Memupuk semangat persahabatan dan persefahaman diantara ahli-ahli tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa.
(2) Menggalakkan ahli-ahli mengambil bahagian yang cergas didalam perkara-perkara yang akan memberi faedah kepada Jabatan, masyarakat Kelab dan ahli-ahli Kelab
(3) Menggalak ahli-ahli bertanggungjawab dan mengambil bahagian dalam hal ehwal sosial dan masyarakat
(4) Menyebarkan maklumat, pengetahuan serta pendidikan  kepada ahli ke arah peningkatan keperibadian, kemahiran serta produktiviti
(5) Menggalakkan ahli-ahli bergiat dalam aktiviti sukan serta meningkatkan mutu sukan dikalangan ahli-ahli bersesuaian dengan tema “Majulah Sukan Untuk Negara”
FASAL 5 KEAHLIAN
  Setiap kakitangan yang berkhidmat dengan Majlis Daerah Tapah adalah secara automatik menjadi ahli kelab

 

FASAL 6 BAYARAN MASUK,YURAN DAN BAYARAN LAIN
(1)

Bayaran bulanan ahli kelab adalah seperti berikut:

Kumpulan Pengurusan & Profesional – RM20 sebulan
Kumpulan Sokongan I (gred: 22-39) – RM10 sebulan
Kumpulan Sokongan II (gred 17-21) – RM5 sebulan
Lain-lain (gred 1-16) – RM3 sebulan

(2) Yuran bulanan dijelaskan melalui potongan gaji
FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
  Kakitangan Majlis Daerah Tapah yang berpencen, telah tamat perkhidmatannya, telah ditamatkan perkhidmatannya atau tidak berkhidmat dengan Majlis Daerah Tapah, secara automatik keahliannya sebagai ahli kelab terbatal

 

FASAL 8 MESYUARAT AGONG
(1) Pengolaan kelab ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang hendak mengundi atau dua kali ganda  jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat
(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan  untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan  untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir untuk menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa untuk meminda undang-undang kelab dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli
(3)

Mesyuarat Agung Tahunan bagi kelab hendaklah diadakan secepat mungkin setelah  berakhirnya tahun kewangan  tetapi tidak lewat dari 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:

i)menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan kelab dalam tahun lalu
ii)menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu
iii)memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan
iv)menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu

(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 (empat belas) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira kelab bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tampat urusan kelab
(5)

Mesyuarat Agung Khas bagi kelab ini boleh diadakan:

bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa , atau atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakan. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kelab

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada suatu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu
(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat
(8) Fasal 8 (1) dan Fasal 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan  yang sama tidak boleh diadakan
(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada ahli-ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu
FASAL 9 JAWATANKUASA
(1)

Satu jawatankuasa dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan untuk tempoh selama dua tahun:

Seorang Pengerusi
8 (lapan) orang Ahli Jawatankuasa biasa
Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari adalah lantikan Pengerusi

(2) Pemegang-pemegang jawatan kelab ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif  dalam kelab ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia
(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan tersebut di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan  akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula dalam Mesyuarat Agung
(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian kelab dan membuat keputusan  atas perkara-perkara mengenai perjalanan kelab mengikut  dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah  boleh mengambil  tindakan yang bertentangan  dengan keputusan Mesyuarat Agung  dengan tidak  terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan  laporan berkenaan  kegiatannya dalam tahun lalu kepada ahli-ahli Mesyuarat Agung Tahunan
(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat  hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang dari 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
(6)

Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan  daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam Surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa
Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui Surat Pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausah kepada mesyuarat jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri  mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan  akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam jawatankuasa
(8) Jika seorang Jawatankuasa meninggal dunia, meletak jawatan atau bertukar, pengerusi berhak melantik calon lain untuk memenuhkan kekosongan itu
(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan  urusan kelab dan melantik pengurus dan kakitangan  yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan  kerana cuai didalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan  keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan  boleh merosakkan  kepentingan kelab
(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan  Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan kepada sebarang ahli Jawatankuasa

 

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 September 2017 - 6:28pm